Friday, December 4, 2009

Erti Korban

Hati ni rasa membuak-buak ingin meledakkan segala yang terbuku dihati. Aku rasa sangat kagum dengan ibu mertuaku. Walau dia tidak berpelajaran tinggi tapi pada aku dia seorang srikandi yang tabah. Tabah dan cekal menghadapi karenah ibunya yang pada aku kebanyakan masanya agak keterlaluan. Benarkah bila diri dimamah usia sikap dan tingkah laku seseorang yang berubah dan menjengkelkan orang disekeliling kita?

Aku diberitahu yang ibu mertua aku menghidap penyakit sawan sejak aku mula mengenali suamiku. Waktu itu aku tidak pernah berhadapan dengan situasi sebenar bila dia diserang penyakit misteri itu. Yang pernah aku lihat hanyalah satu keadaan dimana dia seolah-olah berkhayal dan tidak memberi respon apa-apa pun bila kita memanggil namanya. Beberapa minit kemudian dia akan kembali normal. Kali pertama berhadapan dengan penyakit sawan yang menyebabkan kekejangan kaki dan tangan, aku terperanjat! Sedih dan Simpati dengan keadaannya. Namun Mak tetap tabah.. bila terasa badan lebih sihat, ibu mertuaku yang usianya sudah lebih ½ abad ini, kuatkan kudrat kerana menyedari ada 2 tanggungan yang memerlukan dia.

Nenek dikurniakan dengan 5 orang anak. Mak satu-satunya anak perempuan nenek. Along, anak sulung nenek lahir dan membesar secara normal. Menurut cerita busu, Along semasa zaman awal remaja, sangat rajin di kampung. Kerana terlalu rajin, dia seorang diri mengalihkan bangkai lembu yang dijumpainya suatu hari pada waktu senja dan menanam bangkai itu. Selepas itu Along diserang demam panas dan kepalanya tidak dapat ditegakkan. Ada dukun yang memberitahu supaya menggali kembali bangkai lembu itu dan dibetulkan kedudukan leher lembu itu. Selepas itu, demam Along kebah, lehernya kembali normal tapi ‘mental’ jadi kacau! Selama beberapa tahun Along berulang alik ke Tanjung Rambutan. Kemudian di beri ubat untuk penyakit mental. Mungkin menjadi kebiasaan orang kampung, wanitanya menghamba-abdikan diri kepada lelaki. Kerja-kerja rumah, kerja-kerja dapur yang tidak pernah berkesudahan. Jarang sekali yang laki-laki meringankan tulang mebantu di dapur. Kebanyakan masanya, bersantai-baring di ruang tamu sementara menanti waktu makan. Walau selewat mana makan tengah hari, jika jam melewati 3.30 petang dan minum petang tidak terhidang maka berkumandanglah ‘radio nogori’ “pot-pet-pot-pet”! namun Mak akur..

Mak, pada aku sangat penyabar orangnya, tidak banyak karenah, penyayang, pemurah dan untuk seorang wanita yang hampir seluruh hidupnya didedikasikan kepada Ibu tuanya,  pada aku terlalu besar pengorbanan Mak.. sebagai anak, adik, kakak dan sebagai ibu. Kerana itu, aku tidak mengharapkan pengorbanan darinya sebagai seorang ibu mertua. Aku mahu dia menerima pengorbanan aku pula.. namun, di mata aku, Mak tetap berkorban. Berkorban untuk tinggal dikampung bersama nenek dan memberi restunya kepada anak-anaknya bekerja jauh dari dia untuk mencari rezeki. Yes, restu mak adalah pengorbanan dia untuk kami. Mak bertanggungjawam menguruskan makan minum nenek, makan minum Along. Semua mesti tepat pada masa. Walau sakit, walau terlantar, sebaik boleh bangkit dari tidur, nenek akan segera mengerah Mak untuk menyediakan makan minum Along! Sukar untuk difahami mengapa perlu disediakan serba-serbi untuk Along. Bukankah lebih baik jika Along mampu berdikari.. ini tidak, makanannya pun siap dihidangkan didepan mata!

Perkara yang sama mak lakukan untuk Nenek pula. Selain makan minum, ubat-ubatan, sireh nenek disediakan juga. Sukar untuk digambarkan jadual mak seharian menyediakan keperluan untuk orang lain. Bagaimana pula keperluan dirinya sendiri?

Disebabkan penyakit sawan yang memang menjadi teman Mak sejak kecil, Ubat juga menjadi teman akrab Mak. Aidil Fitri yang lalu mak diserang sawan hingga Busu menghantar Mak ke Hospital. Aidil Adha, mak diserang sawan lagi. Kali ini lebih malang, Mak diserang berkali-kali menyebabkan dia tidak sedarkan diri lebih 24 jam. Kami hanya sempat menemankan Mak beberapa jam dan terpaksa pulang semula ke Kuala Lumpur. Mujur, Angah, Achik dan Busu pulang bergilir meneman dan menguruskan Mak, Nenek dan Along di kampung. Semua serba tak kena, rumah tak sepertinya.. begitulah bila ‘Orang Kuat’ tumbang! Ada masanya hanya bila sakit terlantar saja Mak dapat berehat. Itupun, jika mak sudah beransur pulih, dia masih perlu menguatkan diri untuk bangun menguruskan makan minum Along.

Ada masanya terasa muak bila menyebut kisah mak dan terpaksa mengaitkan aktiviti seharian Mak dengan Along. Pada aku secara peribadinya aku berpendapat yang Along itu tidak sepicing pun tanggungjawab Mak. Atas dasar simpati, belas ihsan dan kerana Nenek, Mak rela berkorban untuk berbakti kepada Along.

Pernah aku mencadangkan pada suamiku, andai kata Nenek sudah tiada lagi didunia ini, aku ingin Mak pergi berjalan-jalan makan angin.. tanpa perlu bimbang tentang Along! Aku cadangkan mereka menghantar Along ke rumah orang tua-tua kerana aku ingin Mak rasa BEBAS! Kebebasan untuk melakukan apa yang ingin Mak lakukan selama ini. Aku ingin Mak rasa hidup tanpa dikongkong rasa tanggungjawab yang berat sebelah.

To me, life has not been very fair for Mak! She needs the freedom. She deserve it!


Aku berdoa semoga Allah mengurniakan kesihatan yang baik buat Mak yang tak pernah jemu-jemu berkorban untuk orang lain. Ya Allah! Sebagai balasan kepada pengorbanan Mak, kau berikanlah dia kesihatan yang baik, jauhilah Mak dari sakit dan gangguan yang nyata dan yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan sembuhkanlah penyakit mak.. Aminnnn


Kepadamu kekasih... aku berserah.. kerana ku tahu kau lebih mengerti..
Hanya padamu kekasih aku tinggalkan.. jawapan yang belum ku temukan..
Yang bakal aku nantikan.. bila malam menjemputku lena beradu...


Liza Masrina Ibrahim
4 Disember 2009

No comments: