Tuesday, January 12, 2010

Harimau mati meninggalkan belang..

 

Semalam aku bermimpi.. terlalu rindukan zaman sekolah barangkali, aku bermimpi suasana dia sekolah menengah dan guru yang paling banyak membantu, memberikan sokongan dan galakan dan juga yang paling akrab dengan  pelajar2 SMBBS. Cikgu Nadzaruddin.. nama itu sangat sinonim dengan allayarhamah Sarina Shahbuddin (al-fatihah untuknya). Seorang srikandi di mataku.. Beliau banyak member inspirasi padaku. Disaat-saat aku kehilangan semangat dia hadir untuk mengubah segalanya. Disaat aku kehilangan arah, dia yang menunjukkan jalan yang seeloknya.

 

Aku sangat rindukan senyuman kakak itu.. sangat menenangkan...sangat tenang. Ibu kepada 3 orang anak yang ketika itu masih kecil semasa dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Anaknya yang bongsu baru saja meninjak usia setahun. Pilu melihat anak itu lebih pilu dari kehilangan seorang saudara yang banyak jasanya.

 

Segala keakraban itu sedikit pudar setelah aku tamat persekolahan. Namun mereka (Cikgu Nadzaruddin & Arwah Kak Sarina) tetap melapangkan masa untuk hadir ke Majlis Persandingan aku dengan suamiku. Kemudian anak sulung mereka kebetulannya sama tadika dengan adikku.. dapat juga aku sesekali berjumpa dengan arwah. Sehinggalah setahun selepas itu, mereka berpindah ke Quaters Guru di Cheras, kali sudah tidak berjumpa.

 

Takdir menemukan aku dengan Arwah semasa kami sedang ‘window shopping’ di Jusco Wangsa Maju. Memang aku tahu arwah rajin kesana tetapi tidak pernah lagi kami terserempak. Sempat juga kami berpelukan mesra sambil bertukar-tukar nombor telefon. Itulah pelukan yang terakhir ku terima dari Arwah. Selepas pertemuan itu kami hanya sempat berbual pendek melalui telefon dan tidak berkesempatan bertemu lagi walaupun pertemuan terakhir..

 

Ketika aku mendapat berita pemergian Arwah, aku masih kurang percaya.. sekalipun suara sebak Cikgu Nadza sebagai satu kepastian.. sehinggalah aku melihat sekujur tubuhnya yang kaku.. bibir yang dulu merah dan mesra dengan senyuman itu.. dingin dan kebiruan..

 

Bersemadilah dengan aman kakakku.. Insya-allah.. kau ditempatkan bersama para syuhadah.. amin...

 

Al-Fatihah untuk Allayarhamah Sarina Shahbuddin..